Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerja Asing Malaysia (PIKAP), Datuk Raja Zulkepley Dahlan, berkata jumlah berkenaan adalah anggaran kemasukan untuk memenuhi kira-kira 100,000 permohonan khidmat pembantu rumah.
Justeru, beliau khuatir sama ada Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bersedia menerima gelombang kemasukan pembantu rumah dan memastikan semua proses permohonan berjalan lancar.
Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam kelmarin bahawa Malaysia memerlukan kira-kira 100,000 pembantu rumah Indonesia bagi menampung permintaan.
Raja Zulkepley berkata, pihaknya menerima hampir 80,000 permohonan pembantu rumah warga Indonesia dan jumlah itu terus meningkat.
Katanya, mengikut taklimat kepada agensi, proses oleh Imigresen akan mengambil masa hampir dua minggu dan JTK dalam tempoh tiga hari.
"Saya harap proses permohonan lancar walaupun dengan kemasukan besar-besaran pembantu rumah dan agensi pekerjaan tidak dipersalahkan jika berlaku kelewatan," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Jeffrey Foo, berkata pihaknya berusaha menambah kemasukan pembantu rumah Indonesia tetapi mereka tidak boleh menghantar pembantu rumah ke negara ini hanya dalam seminggu atau sebulan kerana ia memerlukan masa untuk berbuat demikian.
0 ulasan:
Post a Comment