Letusan Eyjafjallajokull di Iceland mengingatkan manusia
kekuasaan Yang Maha Esa
NAMANYA agak janggal dalam perbendaharaan bahasa kita,
Eyjafjallajokull. Janggal daripada susunan huruf, sebutan ucapan dan
penglihatan mata, tetapi susunan kata itulah yang menggusarkan negara Eropah
dan berimbas ke seluruh dunia selama hampir dua minggu yang bermula pada 14
April 2010 lalu.
Eyjafjallajokull nama gunung berapi di Iceland, utara
Britain, yang menghamburkan debu setinggi 11 kilometer ke udara dan menghalang
banyak penerbangan ke Eropah. Selama enam hari larangan itu, penerbangan dunia
mengalami kerugian AS$1.7 bilion. Belum lagi kerugian lain dikaitkan dengan
perkhidmatan penerbangan.
Eyjafjallajokull satu nama daripada ribuan nama yang
diberikan kepada ciptaan Allah SWT yang bernama gunung. Gunung adalah
penyeimbang bumi di mana tanpanya bumi akan beroleng (bergerak) tidak tentu
arah. Inilah satu fungsi gunung yang didedahkan al-Quran lebih 1,400 tahun
lalu.
Al-Quran menyebutnya bermaksud: “Dan gunung-ganang sebagai
pancang pasaknya.” (Surah al-Naba: 7)
Dalam ayat lain yang bermaksud: “Dan Dia mengadakan
di bumi gunung-ganang yang menetapkannya supaya ia tidak menghayun-hayunkan
kamu, dan Dia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu-lalang, supaya
kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju.” Surah al-Nahl: 15)
Al-Quran menyebut gunung dengan dua perkataan bahasa Arab.
Yang pertama kata jamak ‘jibal’ dan disebut sebanyak 33 kali, manakala kata
tunggal ‘jabal’ disebut enam kali dan yang kedua kata ‘rawasi’ yang diulang
sebanyak 10 kali.
Menurut Rosihan dan Fadlullah, istilah jabal lebih bersifat
umum, sedangkan rawasi kemungkinan dimaksudkan khusus untuk menyebutkan gunung
yang berfungsi sebagai pasak bumi. Hal ini dikuatkan pula oleh makna dasar
dari-pada kata berkenaan. Kata rawasi bermakna sesuatu yang dapat membuat benda
yang bergoncang menjadi diam, dalam hal ini benda yang bergoncang adalah bumi.
Penyebutan rawasi juga selalu didahului dengan kata alqa
bererti ‘mencampakkan’, atau ‘meletakkan sesuatu yang belum ada sebelumnya di
tempat itu.’ Makna ini bersesuaian dengan huraian ilmiah mengenai gunung.
Gunung-ganang yang berada di batas lempeng (divergence mahupun convergence)
sememangnya tidak muncul bersamaan dengan pembentukan daratan, melainkan harus
melalui proses tektonik terlebih dulu.
Penggunaan isim makrifat (al) yang mendahului kata ard dalam
Surah Al-Nahl ayat 15. Isim (kata benda) ini menunjukkan pengkhususan, dalam
hal ini pengkhususan bahagian tertentu daripada bumi. Ini bererti ‘gunung’
dimaksudkan dalam ayat berkenaan tidak terdapat di seluruh permukaan bumi, akan
tetapi hanya pada wilayah tertentu. Wilayah berkenaan kemungkinan adalah
batas-batas lempeng.
Bahagian lain setelah kata rawasi dalam ayat ini adalah
perkataan an tamiida bikum yang bermakna ‘supaya ia tidak menghayun-hayunkan
kamu.’ Perkataan ini mungkin menunjukkan ‘gunung’ yang dibicarakan dalam ayat
itu ialah gunung berada dekat dengan permukiman manusia, yakni gunung-gunung di
batas lempeng konvergen. Gunung di bawah laut (batas lempeng divergen) mungkin
tidak termasuk dalam ‘gunung’ yang dibicarakan ayat ini.
Dalam al-Quran disebut gunung 49 kali mempunyai tujuan
tertentu. Dengan bilangan sebanyak itu, sudah tentu gunung mempunyai kedudukan
tersendiri dalam senarai makhluk ciptaan Allah. Kita boleh mengkategorikan
pembahasan gunung dalam 49 ayat itu kepada pembahasan mengenai hakikat gunung
sebagai kata kiasan; kepentingan sejarah manusia; tempat berlaku mukjizat;
tempat berlindung manusia dan haiwan; penyeimbang bumi; keagungan penciptaan
gunung, gambaran komposisi geologi; fakta bahawa gunung bergerak; supernatural
dan nasib gunung pada hari kiamat.
Dari segi sains, gunung berapi adalah suatu proses geologi
yang membabitkan pembentukan daratan yang dijana daripada letusan menerusi
permukaan planet dipanggil magma, batuan cair yang meleleh keluar dari bahagian
dalam (interior) planet.
Gunung berapi ada dalam beberapa bentuk sepanjang kitaran
hayatnya. Gunung berapi yang aktif mungkin bertukar menjadi separuh aktif,
menjadi pendam, sebelum akhirnya menjadi tidak aktif atau mati. Bagaimanapun,
gunung berapi mampu menjadi pendam selama tempoh 610 tahun sebelum bertukar
menjadi aktif semula. Oleh itu, sukar untuk menentukan keadaan sebenar sesuatu
gunung berapi itu, sama ada sesebuah gunung berapi itu berada dalam tempoh
pendam atau telah mati.
Apabila gunung berapi meletus, magma yang terkandung di
dalam kamar magma di bawah gunung berapi meletus keluar sebagai lahar atau
lava. Selain daripada aliran lava, kemusnahan oleh gunung berapi disebabkan
melalui pelbagai cara seperti aliran lava; letusan gunung berapi; aliran
lumpur; abu; kebakaran hutan; gas beracun; gelombang tsunami; dan gempa bumi.
Kejadian fenomena alam abu gunung Eyjafjallajokull sedikit
sebanyak mengingatkan manusia mengenai kekuasaan Sang Maha Pencipta yang tidak
ada tolak bandingnya. Dia boleh melakukan apa saja tanpa ada campur tangan dari
sesiapa pun. Manusia sebagai makhluk ciptaannya hanya boleh menerimanya secara
sukarela mahupun secara terpaksa demi kebaikan mereka.
“Kalau sudah demikian, adakah Allah yang menciptakan
semuanya itu sama seperti makhluk yang tidak menciptakan sesuatu? Maka patutkah
kamu lalai sehingga kamu tidak mahu beringat serta memikirkannya?” (Surah
al-Nahl: 17)
Ketahuilah hakikat sebenar Yakjuj dan Makjuj dengan memiliki ebook dibawah :-
0 ulasan:
Post a Comment