Powered by Blogger.

Tuesday, 25 December 2012

Tip Ketika Gagal Memperoleh Biasiswa


Gagal Dalam Permohonan Biasiswa ? 
Jangan Berputus Asa.


Kegagalan dalam permohonan biasiswa adalah satu perkara yang sedikit luar biasa. Lebih -lebih lagi sekiranya kita mempunyai kelayakan yang menepati kriteria yang diminta oleh pihak penaja. Sekiranya kita gagal dalam permohonan yang lepas, apakah yang perlu kita lakukan ? Apa tindakan kita seterusnya ? Sekiranya anda berdepan situasi ini, mungkin tips di bawah boleh membantu anda. Selamat membaca (^_^)

Tip 1 : Bertenang dan Atur Strategi baru

Ketika anda mendapat tahu bahawa anda gagal dalam permohonan biasiswa, jangan berasa cemas atau buntu. Bawa bertenang dan fikirkan strategi bagaimana untuk mendapatkan biasiswa lain. Biasiswa di Malaysia ini bukan satu, tetapi terdapat hampir 57 biasiswa-biasiswa lain dan pinjaman yang boleh anda pohon. Jadi usah rasa cemas.  Sekiranya anda tetap ingin mendapatkan biasiswa tersebut, anda perlu atur strategi baru yang berkaitan dengan biasiswa tersebut.

Tip 2 : Dapatkan Maklumat Dari Rakan-Rakan Anda

Sekiranya anda memperoleh keputusan yang cemerlang tetapi masih tidak mendapat biasiswa/pinjaman tersebut, lakukan perbincangan dengan rakan-rakan anda yang memperoleh biasiswa (dalam bidang yang sama). Barangkali berlaku kesilapan dalam sistem yang mengakibatkan nama anda tercicir daripada senarai mereka yang memperoleh biasiswa.

Tip 3 : Lakukan Semakan Terhadap Syarat-Syarat Permohonan Biasiswa

Setelah perbincangan bersama rakan-rakan yang memperoleh biasiswa dilakukan, dan anda yakin bahawa anda memang wajar memperoleh biasiswa/pinjaman tersebut, lakukan semakan semula terhadap syarat-syarat permohonan biasiswa ini. Adakah anda menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak penaja ? Sebagai contoh, kecemerlangan dalam kurikulum sahaja tidak memadai sekiranya pihak menaja menetapkan bahawa pemohon perlu juga cemerlang dalam aktiviti ko-kurikulum.

Tip 4 : Hubungi Pihak Penaja

Sebenarnya ini merupakan satu langkah yang sangat penting. Sekiranya anda tidak menghubungi pihak penaja, anda tidak akan memperoleh maklumat mengapa permohonan anda tertolak. Boleh jadi sebenarnya permohonan anda tertolak kerana anda tidak melekatkan setem hasil, boleh jadi kerana anda tidak mematikan setem hasil tersebut. Jadi memang banyak sebab mengapa permohonan anda tertolak.

Sebelum anda menghubungi pihak penaja, pastikan anda sudah mencatat point-point penting yang ingin anda tanyakan kepada mereka. Panggilan telefon lebih baik berbanding menggunakan email, kerana anda boleh mengajukan soalan anda dengan jelas kepada mereka. Sekiranya panggilan telefon tidak berjawab, anda boleh gunakan email, dan sekiranya email juga tidak berbalas, anda boleh terus pergi ke pejabat pihak penaja. Susah ?Kerana saya juga pernah menggunakan teknik ini dan ia berkesan ! :-)

Peringatan :  Pegawai atau individu yang bertugas menjawab panggilan telefon mungkin telah melayan beratus-ratus panggilan telefon dan aduan sebelum anda, justeru, anda juga perlu bertindak secara profesional dan sampaikan aduan anda secara berhemah. Sekiranya anda mulakan dengan ucapan yang baik, aduan anda berkemungkinan besar memberikan keputusan yang positif. Jadi, jangan mendesak atau memarahi mereka. Bayangkan jika kita berada di tempat mereka. :)

Tip 5 : Ketahui Tarikh Biasiswa Ditawarkan

Selalunya, pihak penaja juga akan membuka tajaan untuk individu yang baru menghabiskan semester 2 (tahun pertama) mereka. Ada sahabat saya yang mendapat biasiswa JPA dengan menggunakan keputusan peperiksaan semester pertama mereka. Jadi anda juga tidak mustahil untuk mendapatkannya.

Biasiswa atau pinjaman dibuka berdasarkan polisi penaja tersebut. Kebiasaannya, kerajaan (pusat atau negeri ) akan membuka biasiswa sebelum semester bermula setahun sekali. Ada kerajaan negeri yang bermurah untuk membuka tawaran dua kali setahun iaitu pada setiap semester. 

Berbeza dengan penajaan dari pihak swasta (Bank, GLC atau persendirian). Mereka selalunya akan membuka penajaan pada awal tahun. Ada yang dibuka pada pertengahan tahun dan ada juga yang dibuka pada akhir tahun. Mereka membuka penawaran berdasarkan tahun kewangan mereka atau mengikut keuntungan perniagaan mereka. Kebanyakannya seragam dan tarikh-tarikh ini ada dinyatakan di dalam Kit Biasiswa versi penuh.

=======================
Semoga tip-tip ini berguna untuk anda. :) Salam kejayaan !





0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...