gambar sekadar hiasan
Soalan:
Assalamualaikum..saya nak tanya, apakah hukum seorang lelaki dan perempuan yang
bukan muhrim bersentuhan dan bercumbuan pada pertama kali tanpa melakukan zina?
Adakah dosa keterlanjuran ini sangat berat walaupun tidak berlaku zina? Apakah
Allah akan mengampunkan dosanya sekiranya mereka ini telah insaf dan tidak
mengulangi perbuatan ini untuk kali kedua? Saya kurang jelas tentang hal ini..
Jawapan:
Perbuatan tersebut sekalipun belum berzina tetapi ia telah membabitkan pelbagai
dosa dan kesalahan yang ditegah Syariat, iaitu:
Ia
menghampiri zina. Firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah kamu menghampiri
zina” (Surah al-Isra’, ayat 32). Berkata Imam Ibnu Kathir; “Dengan ayat ini
Allah menegah hamba-hambaNya dari zina, dari menghampirinya dan dari terlibat
dengan segala sebab dan pendorong kepada zina” (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir).
Berdua-dua
antara lelaki dan wanita bukan mahram. Sabda Nabi; “Tidak bersunyian
(berdua-duaan) seorang lelaki dan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi
yang ketiga antara mereka” (Sunan at-Tirmizi).
Menyentuh
bukan mahram. Sabda Nabi; “Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum
dari besi, itu lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak
halal untuknya” (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi. Berkata al-Haithami;
para perawi hadis ini adalah perawi hadis soheh. Berkata al-Munziri; para
perawinya adalah tsiqah Lihat; Faidhal-Qadier, hadis no. 7216). Jika menyentuh
sudah begitu hebat ancamannya, bagaimana dengan saling bersentuhan dan bercumbuan.
Membuka aurat kepada bukan mahram. Firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah mereka (perempuan-perempuan beriman) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak-anak lelaki mereka…” (Surah an-Nur, ayat 31). Di dalam hadis, Rasulullah bersabda kepada orang lelaki; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau hamba perempuan yang kamu miliki” (HR Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, an-Nasai dan at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan. Lihat hadis ini dalam al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 264)
Tidak
menjaga pandangan mata. Firman Allah; “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada
orang-orang lelaki beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada
memandang yang haram) dan memelihara kemaluan mereka…. Dan katakanlah kepada
perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada
memandang yang haram), dan memelihara kemaluan mereka” (Surah an-Nur, ayat
30-31).
Melepaskan
nafsu seks mengikut jalan yang haram. Di dalam al-Quran Allah menyebutkan di
antara sifat orang beriman ialah; “Mereka yang menjaga kemaluan mereka, kecuali
kepada isteri mereka atau hamba sahaya mereka, maka sesungguhnya mereka
tidaklah tercela.
Maka
sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian itu, maka mereka adalah
orang-orang yang melampaui batas” (Surah al-Mukminun, ayat 5-7). Perhatikan
Allah menegaskan “sesiapa mengingini selain dari yang demikian itu” (yakni
mencari jalan untuk melepaskan nafsu selain kepada isteri dan hamba sahaya)
mereka adalah orang yang melampau batas.
Dengan
ayat ini Imam as-Syafiie menegaskan; Haram mengeluarkan mani dengan tangan
(yakni melakukan onani) kerana ia termasuk melepaskan nafsu bukan kepada isteri
atau hamba sahaya (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir). Jika melepaskan nafsu secara
sendirian sudah dianggap haram, apatahlagi jika membabitkan pasangan yang bukan
mahram, maka lebih-lebih lagilah haram.
Orang
yang melakukan perbuatan sedemikian wajiblah ia segera bertaubat kepada Allah.
Pintu taubat sentiasa dibuka oleh Allah dengan syarat ia benar-benar bertaubat
nasuha iaitu dengan melaksanakan rukun-rukun taubat berikut;
Meninggalkan
maksiat tersebut sepenuhnya.
Menyesali
ketelanjuran lalu dengan sesungguh hati.
Bertekad
tidak akan mengulangi lagi.
Sebagai
bukti kejujuran taubatnya, ia hendaklah mengubah hidupnya dari suasana maksiat
kepada suasana taat (menjaga ibadah terutamanya solat, menjauhi pergaulan luar
batasan antara lelaki dan wanita, bergaul dengan orang-orang soleh, mendampingi
masjid dan majlis ilmu, menanamkan rasa takut kepada Allah dan balasan di
akhirat).
Hanya
dengan berada dalam suasana ketaatan sahaja kita dapat memelihara diri dari
terjerumus ke dalam maksiat. Di dalam hadis, Rasulullah bersabda; “Seseorang
manusia itu berada di atas agama teman rapatnya. Maka hendaklah setiap dari
kamu memerhati dengan siapa ia berteman” (HR Imam at-Tirmizi dan Abu Daud dari
Abu Hurairah. Menurut as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier,
hadis no. 4516)
Wallahu
a’lam.
Sumber:
http://www.islamituindah.my
0 ulasan:
Post a Comment